Wira yang dilupakan....
Sejak sebelum negara merdeka pada 1957, ramai anggota polis yang terkorban semasa menjalankan tugas. Pada zaman darurat, bukan sedikit yang maut di tangan pengganas komunis dan selepas era itu, tidak kurang pula terkorban angkara penjenayah.
Sumbangan para pegawai dan anggota polis dalam memberikan perlindungan kepada semua kaum dan penganut agama demi menjaga ketenteraman awam, adalah cukup besar.
Tetapi sedihnya, hanya kerana segelintir kes salah guna kuasa termasuk penderaan tahanan dalam lokap, seolah-olah seluruh organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihukum. Lebih menyayat hati ialah apabila yang diagung-agungkan sebagai hero adalah orang yang tidak berjasa apatah lagi suspek jenayah.
Lalu Awang teringat kepada banyak kes kematian anggota polis kebanyakannya kaum Melayu dan mungkin kebetulan mati di tangan penjenayah kaum lain. Apakah itu boleh dilihat sebagai unsur perkauman, yang Awang harap jawapannya tidak.
Malah ada juga pegawai dan anggota polis bukan Melayu terbunuh dan cedera parah demi menjaga ketenteraman awam. Yang paling hampir pada ingatan Awang ialah kejadian dua anggota polis iaitu Lans Koperal J. Jaya Balan dari Cawangan Narkotik Gombak dan Lans Koperal M. Alagesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang mati ditembak penjenayah semasa operasi anti dadah di Sungai Buloh, Selangor pada Oktober 2007.
Media termasuk akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gambar keluarga kedua-dua anggota itu meratap kesedihan di hadapan keranda.
Tiada kumpulan NGO atau parti politik kaum tertentu yang memberi perhatian walaupun sesungguhnya mereka sebenarnya adalah hero kita semua.
Tiada perarakan dan tiada penghargaan istimewa khususnya daripada kalangan bukan polis. Mereka berdua menjadi hero yang dilupakan. Ironinya, ada golongan tertentu ghairah menobatkan hero mereka sendiri hanya kerana satu perkara – sentimen kaum. Memang menyedihkan dan memalukan tetapi itulah realiti. Lalu Awang ingin bertanya lagi, apa makna menjadi anggota polis kalau harga dan nilai diri penjenayah lebih tinggi dan nasib mereka lebih diperjuangkan?
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
No comments:
Post a Comment